BOMBA mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan kereta yang dihempap dahan pokok.
BOMBA mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan kereta yang dihempap dahan pokok.
Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Seorang peniaga kerugian lebih RM2,000 apabila kereta miliknya rosak dihempap dahan pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di Kampung Batu, dekat sini, kira-kira 4 petang, semalam.

Ketika kejadian mangsa, Mohammad Zain Mimhaj, 51, sedang berniaga kuih-muih berhampiran tempat kejadian.

Menurutnya, tiba-tiba angin kencang disusuli dengan petir dan hujan lebat melanda menyebabkan dia mula cemas kerana khemah dan payung niaga diterbangkan angin.

"Ketika cuba menyelamatkan khemah daripada diterbangkan angin, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat. Saya terus pandang ke seberang jalan dan tergamam apabila melihat kereta milik saya dihempap dahan pokok," katanya ketika ditemui.

Kejadian itu menyebabkan cermin depan pecah dan beberapa bahagian kereta remuk akibat hentakan kuat dan dia terpaksa membelanjakan lebih lebih RM2,000 untuk membaik kerosakan.

"Sejak mula berniaga awal tahun lalu saya akan meletakkan kereta di bawah pokok ini tetapi tidak menduga kejadian seperti ini akan berlaku,"katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Pegawai Bomba Abdul Halim Abdul Malik berkata, sebaik menerima panggilan seramai enam anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit bagi mengeluarkan kereta yang dihempap dahan pokok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 1:05 PM