Sepupu Sajat (gambar kanan) sudah ditahan bagi membantu siasatan selepas Sajat membuat laporan polis. FOTO Ihsan PDRM
Sepupu Sajat (gambar kanan) sudah ditahan bagi membantu siasatan selepas Sajat membuat laporan polis. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


“SAYA tak sangka ahli keluarga sendiri tergamak mengambil wang syarikat dan melakukan pecah amanah,” kata usahawan kosmetik, Nur Sajat, 34.

Nur Sajat berkata, wanita yang juga sepupunya itu dikesan melakukan pecah amanah terhadap wang syarikatnya bernilai RM1 juta.

“Dia mula bekerja dengan saya pada 2016, oleh kerana percayakannya saya memberikan peluang kepadanya untuk menguruskan produk seperti bengkung, produk kecantikan, sabun dan serum.

“Namun pada Mei tahun lalu saya mengesyaki sesuatu apabila permintaan barang berlaku namun wang hasil penjualan barang itu tidak diterima,” katanya.

Nur Sajat berkata, selepas pemeriksaan dia mendapati wang dipercayai hasil jualan produk miliknya masuk ke akaun bank syarikat wanita berkenaan.

“Ketika itu saya fokus terhadap kedai emas saya, kerana mempercayainya saya membiarkannya menguruskan stokis dan produk terbabit.

“Saya ada berbincang berhubung kejadian ini dengannya namun dia mengambil tindakan undang-undang terhadap saya kerana tidak memberikan produk diminta,” katanya.

Menurutnya, dia sangat sedih dengan tindakan sepupunya itu kerana menghancurkan kepercayaan yang diberikan.

“Susulan itu saya membuat laporan polis di Balai Polis Shah Alam untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan dia menerima hukuman setimpal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya sudah menahan wanita berusia 38 tahun itu bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan dan polis sudah mengambil keterangan daripada Nur Sajat semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita berkaitan

Bekas pekerja Nur Sajat 'songlap' RM1 juta?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 6:49 PM