Sudirman Mohd Tahir


Petaling Jaya: “Saya tak bayar secara tunai, tapi masih berhutang (dengan bank),” kata usahawan kosmetik, Nur Sajat yang hari ini menerima kunci banglo RM7.5 juta yang dibeli daripada pengasas produk D’Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.

Nur Sajat, 32, berkata, dia tidak menyangka permohonan untuk mendapatkan banglo itu berjaya apatah lagi masih baru dalam bidang perniagaan.

Sebelum Nur Sajat, banglo 10 bilik itu turut dirisik lebih 30 individu lain.

Menurutnya, dia memang berniat untuk membeli rumah sejak tahun lalu.

“Sebelum ini saya sudah meninjau banyak tempat tetapi tak ada yang berkenan. Secara kebetulan Datuk Aliff menjemput saya datang ke rumah. Dia memaklumkan ingin menjual rumah itu dan saya pun tertarik. Bagaimanapun, selepas pertemuan keempat baru saya menyatakan persetujuan.

"Pada masa sama pinjaman bank saya juga diluluskan. Mungkin rezeki saya di situ," katanya kepada Harian Metro.

Nur Sajat berkata, dengan keluasan yang ada di luar dan dalam rumah itu, dia bercadang membawa ibu bapa dan adik-beradiknya tinggal bersama.

"Selain itu ia memudahkan saya untuk mengadakan mesyuarat dan perjumpaan dengan stokis produk saya. Ia lebih santai dan mesra.

"Saya membeli rumah kerana ia adalah aset. Saya percaya harga hartanah sentiasa meningkat dari semasa ke semasa," katanya yang turut membeli sebuah lagi rumah di Setia Alam.

Sementara itu, Aliff mengakui rumah itu meninggalkan banyak kenangan kerana ia adalah kediaman pertama yang dibeli ketika berusia 24 tahun menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri.

"Rumah ini adalah rumah pertama saya. Ketika itu saya membelinya dengan harga RM5.5 juta. Sepanjang empat tahun menetap di sini banyak kenangan bersama isteri dan anak-anak.

"Pada mulanya saya ingin mewariskan rumah ini kepada anak saya, tapi memandangkan mereka masih kecil jadi lebih baik saya menjualnya. Pada masa sama saya sudah membelikan mereka tanah lot banglo setiap seorang," katanya yang mempunyai tiga anak.

Aliff sekeluarga kini menetap di Sungai Buloh sementara menunggu rumah baru mereka berharga RM20 juta di kawasan sama dalam tempoh empat bulan lagi.

Dalam pada itu, Facebook Live Harian Metro yang menayangkan simbolik penyerahan kunci itu petang tadi mencatat tontonan hampir 200,000 pelayar Internet dalam tempoh tiga jam.

Dalam tempoh yang sama juga ia dikongsi hampir 700 pengguna Facebook dan lebih 6,000 menyukainya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 8:21 PM
Nur Sajat bergaya di depan banglonya. FOTO Shiraz Yasmin Ali
Nur Sajat bergaya di depan banglonya. FOTO Shiraz Yasmin Ali