PELAJAR pertama dari Program Saintis Islam, Muhammad Nur Irfan Mohd Zameri, 20, bersama ayah dan ibunya Zameri Abdullah, 55, (kiri) dan Norbaini Mohamed, 42, membuka cek pendahuluan diri yang diterima selepas Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu ke Luar Negara Tahun 2017 (Program Berkembar Nottingham University, UK) Wisma Darul Iman hari ini. FOTO Ghazali Kori
PELAJAR pertama dari Program Saintis Islam, Muhammad Nur Irfan Mohd Zameri, 20, bersama ayah dan ibunya Zameri Abdullah, 55, (kiri) dan Norbaini Mohamed, 42, membuka cek pendahuluan diri yang diterima selepas Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu ke Luar Negara Tahun 2017 (Program Berkembar Nottingham University, UK) Wisma Darul Iman hari ini. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman


AMALAN Muhammad Nur Irfan Mohd Zameri, 20, mengaji al-Quran sekurang-kurangnya satu muka surat sehari ternyata memberi rahmat buatnya apabila terpilih sebagai peserta pertama bagi Program Saintis Islam Terengganu.

Remaja dari Kampung Sungai Kerak, Marang itu menerima penajaan Biasiswa Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa selama empat tahun di Universiti Manchester di United Kingdom (UK).

Sebagai persediaan, Muhammad Nur Irfan akan menjalani program A-Level di Kolej YUEM, Lembah Beringin, Kuala Kubu Bharu, Selangor, selama dua tahun.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu itu berkata, dia memang sudah lama berkeinginan dan bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang aeroangkasa.

"Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada 2015, saya ditemuduga dan kemudian terpilih antara 10 orang untuk mengikuti menjalani kursus persediaan program saintis Islam di UMT (Universiti Malaysia Terengganu) selama sebulan.

"Alhamdulillah, daripada jumlah 10 orang itu, saya akhirnya terpilih mengikuti program perintis ini dan lebih teruja apabila diberi peluang mengikuti bidang pengajian yang amat saya minati sejak kecil," kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Menurutnya, walaupun berasa gembira, dia tetap gusar kerana membawa harapan ramai untuk muncul sebagai saintis Islam di Malaysia.

"Apapun, saya perlu menstabilkan perasaan itu dan rasanya kini sudah bersedia menggalas amanah yang diberikan," katanya.

Ditanya kaedah dia mengulang kaji pelajaran sehingga memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan ujian sehingga terpilih mengikuti program berkenaan, remaja itu berkata, dia sentiasa memberi fokus 100 peratus ketika di dalam kelas.

"Apa yang penting ialah ketika dalam kelas, beri fokus 100 peratus. Selain itu, saya amalkan membaca al-Quran setiap hari, paling kurang satu muka surat sehari," katanya.

Pada majlis semalam, Muhammad Nur Irfan yang ditemani ibu bapanya, Norbaini Mohamed, 42, serta Mohd Zameri Abdulllah, 55, menerima tajaan biasiswa terbabit yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata, Muhammad Nur Irfan akan menerima tajaan keseluruhan berjumlah RM854,000 untuk kos yuran pengajian di Kolej YUEM dan Universiti Manchester.

"Kerajaan negeri dalam usaha melahirkan golongan saintis Islam yang juga hafiz 30 juzuk al-Quran bagi mendalami pelbagai bidang ilmu antaranya aeroangkasa, kejuruteraan dan perubatan.

"Program ini adalah yang pertama di negara ini dan kita berhasrat melahirkan sebanyak mungkin cendikiawan Islam bukan saja di Terengganu, malah seluruh Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:01 PM