Keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami hampir musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan JBPM
Keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami hampir musnah dalam kebakaran. FOTO Ihsan JBPM
Siraj Mohd Zaini


KELUARGA di Lorong Haji Abd Razak, Jalan Kota Raja, Klang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, rumah terbabit musnah hampir keseluruhan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas, Kota Raja dan Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, pihaknya berusaha memadamkan kebakaran daripada merebak ke kawasan lain namun berdepan masalah akibat tekanan air rendah.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan penarik bertangki air (water tanker) agar api dapat dikawal.

“Sebuah rumah musnah 90 peratus dan sebuah lagi hanya 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata, api berjaya dikawal 30 minit kemudian dan padam sepenuhnya 11.40 malam.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 3:37 PM