ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Pulau Larapan Hujung. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran membabitkan lima rumah di Kampung Pulau Larapan Hujung. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Sekurang-kurang 40 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas lima rumah mereka di Kampung Pulau Larapan Hujung, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian kira-kira 12.45 tengah hari itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna Abdul Kadir Halalan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.49 tengah hari sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi menggunakan sebuah bot kevlar.

Menurutnya, kebakaran dipercayai bermula daripada sebuah rumah di situ sebelum merebak ke rumah berhampiran berikutan strukturnya diperbuat daripada papan selain kedudukan yang rapat antara satu sama lain.

"Kebakaran membabitkan lima rumah, sebuah dewan serba guna yang terbakar sepenuhnya manakala sebuah rumah lagi terjejas pada bahagian dinding akibat bahang api.

"Operasi pemadaman menggunakan sumber air terbuka (air laut) sebelum api berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Kadir berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.56 petang sementara punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 8:25 PM