Mangsa yang menjadi belasahan sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan pagi tadi.
Mangsa yang menjadi belasahan sekumpulan lelaki di sebuah pusat hiburan pagi tadi.
Hasbi Sidek


HANYA kerana terlanggar bahu, lelaki dibelasah sekumpulan lelaki sehingga parah dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Batu 9, Cheras, Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian 3.30 pagi itu, sembilan lelaki ditahan kerana didapati terbabit dalam pergaduhan berkenaan yang video rakaman itu tular di laman sosial sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan dihantar ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerima laporan kejadian merusuh membabitkan sekumpulan lelaki. “Kejadian dipercayai berpunca daripada insiden terlanggar bahu di dalam pub berkenaan.

“Kemudian berlaku pergaduhan yang mana salah seorang daripada mereka bertindak membaling kerusi kepada mangsa sebelum berlaku kekecohan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, salah seorang dari kumpulan berkenaan menghubungi rakan-rakannya sebelum 20 orang tiba dan menyerang mangsa.

“Akibat kejadian salah seorang mangsa dihantar ke Hospital Kajang dan kini dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengalami kecederaan dalaman.

“Susulan itu, polis menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 326 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan cedera,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan atau hubungi Pegawai Penyiasat (IO) kes Inspektor Kunalan di talian 014-6124325.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan tidak bermaya dibelasah menggunakan kerusi oleh dua lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 8:12 PM