RAKAMAN CCTV memaparkan seorang lelaki mengambil dompet mangsa yang tertinggal di kaunter sebelum beredar dari kedai berkenaan tular di media sosial. Bagaimanapun, dompet berkenaan sudah dipulangkan kepada pemiliknya. FOTO ihsan pembaca.
RAKAMAN CCTV memaparkan seorang lelaki mengambil dompet mangsa yang tertinggal di kaunter sebelum beredar dari kedai berkenaan tular di media sosial. Bagaimanapun, dompet berkenaan sudah dipulangkan kepada pemiliknya. FOTO ihsan pembaca.
Nurul Fhatihah Zakinan


“KAMI anggap kes ini selesai kerana sudah terima semula dompet,” kata isteri kepada seorang juruteknik yang tertinggal dompetnya di kaunter kedai santan di Sungai Putat, Melaka, hari ini.

Wanita enggan dikenali itu turut berterima kasih kepada individu memulangkan semula dompet suaminya yang mengandungi wang tunai dan kad bank selepas empat jam ia hilang di lokasi.

“Kes ini sudah selesai dan terima kasih kepada pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian pada 9.30 pagi itu, isteri kepada juruteknik berusia 26 tahun itu berkata, dia memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Facebook bagi mencari individu yang mengambil dompet suaminya.

“Kebiasaannya, suami beli rokok tetapi pada hari kejadian, dia beli air mineral dan tidak tahu dompetnya tertinggal di kedai selepas buat pembayaran.

“Selepas menyedari dompet tiada pada dirinya, dia kembali ke kedai dan dompet itu sudah tiada di kaunter sebelum membuat laporan polis pada 11 pagi,” katanya.

Katanya, suaminya berasal dari Bachang, Melaka dan ramai kenalannya mengenali individu yang mengambil dompet berkenaan berdasarkan rakaman CCTV di kedai itu.

Bagaimanapun, katanya, suaminya sudah menerima semula dompet berkenaan pada 1 tengah hari dan dia sudah memadamkan rakaman video berkenaan di media sosial.

Rakaman CCTV memaparkan seorang lelaki dipercayai seorang pengawal keselamatan berusia 30-an mengambil dompet di kaunter sebelum beredar dari kedai berkenaan, tular di media sosial sejak pagi.

Ada antara netizen meninggalkan komen menyatakan mereka mengenali individu berkenaan dan meminta memulangkan semula dompet itu sebelum tindakan diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu berlaku pada 9.40 pagi.

“Dompet dikatakan hilang itu berisi wang tunai RM70, kad pengenalan, kad ATM dan lesen memandu.

“Kes kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 3:30 PM