Norsyazwani Nasri


Sibu: Seorang penganggur ditahan polis selepas enam jam mencuri dompet milik warga emas hasil bantuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Suspek direkodkan mencuri dompet mangsa ditinggalkan dalam keretanya yang diparkir di tepi bangunan kedai Jalan Salim, di sini, kira-kira jam 10.15 pagi.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa berusia 66 tahun pergi sarapan di kedai kopi berhampiran selepas selesai membaiki keretanya.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa meninggalkan dompetnya di dalam kereta dan mengunci kenderaan itu menggunakan alat kawalan jauh.

"Selepas bersarapan, warga emas itu pergi ke kereta dan mendapati pintu bahagian pemandu dalam keadaan tidak berkunci. Pemeriksaannya mendapati, dompet miliknya dicuri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, antara barangan yang hilang ialah kad bank, kad pengenalan, lesen memandu, kad vaksin Covid-19, wang tunai RM850 dan rantai emas bernilai RM2,500 serta anggaran kerugian dialami sebanyak RM3,350.

SEORANG penganggur diberkas selepas enam jam mencuri dompet milik warga emas yang diletak dalam kereta hasil bantuan rakaman CCTV di lokasi kejadian. FOTO Norsyazwani Nasri
SEORANG penganggur diberkas selepas enam jam mencuri dompet milik warga emas yang diletak dalam kereta hasil bantuan rakaman CCTV di lokasi kejadian. FOTO Norsyazwani Nasri

"Semakan CCTV di lokasi mendapati seorang suspek lelaki membuka pintu kereta sebelah pemandu dan mengambil barang di dalam kenderaan itu sebelum melarikan diri.

"Anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sibu berjaya mengenal pasti suspek berusia 42 tahun sebelum bergerak ke rumah suspek dan menahannya kira-kira jam 4 petang," katanya.

Katanya, pemeriksaan pada anggota badan suspek berjaya menemukan dompet yang dicuri.

"Suspek juga mengaku barang yang dijumpai pada badannya itu adalah dicuri daripada kereta mangsa," katanya.

Tambahnya, suspek ditahan di Balai Polis Sibu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 1:43 PM