BARU Bian ketika membalas pertanyaan media. FOTO/L.MANIMARAN
BARU Bian ketika membalas pertanyaan media. FOTO/L.MANIMARAN
Melvin Joni


PINDAAN kepada Perlembagaan Persekutuan mungkin perlu dilakukan jika mahu salah seorang daripada Hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kes-kes dari Mahkamah Tinggi di Sarawak dan Sabah adalah daripada salah satu negeri berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, ini kerana harus ada undang-undang sementara yang jelas supaya tidak ada perdebatan tentang perkara itu.

“Perkara ini masih dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal dan juga Jawatankuasa Pemandu Kabinet Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan saya harap akan ada pemahaman serta kesimpulan mengenainya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Gawai Dayak Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di dewan DBNA di sini, semalam.

Bagaimanapun, Baru menegaskan adalah lebih penting untuk hakim yang dilantik adalah berpengalaman tentang Borneo.

Beliau berkata, tidak kira berasal dari Semenanjung, Sarawak atau Sabah, seseorang hakim itu perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan tentang kedua-dua negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg pada majlis makan malam Gawai Dayak Peringkat Negeri malam tadi berkata, beliau sudah membawa isu itu untuk dibincangkan dalam Jawatankuasa Pemandu MA63.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan kerana pendengaran kes di Mahkamah Rayuan yang asalnya dari Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, didengar oleh hakim yang bukan dari kedua-dua negeri itu.

Menurut Abang Johari, hakim tempatan dari Sarawak dan Sabah amnya adalah lebih arif dengan keadaan dan situasi tempatan serta gaya hidup komuniti tempatan berbanding mereka dari Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Baru turut menyatakan sokongan kepada usaha kerajaan negeri untuk menambah baik struktur sistem Mahkamah Bumiputera.

“Apa jua sistem yang ada kelemahan harus ditambah baik dan saya berpengalaman dalam Mahkamah Bumiputera di Sarawak yang saya fikir ada keperluan untuk kita perbaiki diri,” katanya.

Sebuah jawatankuasa diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sudah ditubuhkan untuk menambah baik struktur sistem Mahkamah Bumiputera Sarawak khusus bagi menyelesaikan masalah berkaitan budaya dan tradisi, termasuk isu tanah hak adat Bumiputera (NCR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:10 AM