Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. FOTO ARKIB NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. FOTO ARKIB NSTP
Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Parlimen hanya akan bersidang pada masa sesuai kerana kerajaan ketika ini giat menjalankan langkah pengawalan dan pencegahan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika menjelaskan perkara itu berkata, seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan pelan vaksinasi.

Selain itu, katanya, agensi penguat kuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain masih bertungkus-lumus menjaga perbatasan negara daripada dibolosi pendatang asing tanpa izin (Pati) yang membawa risiko penularan Covid-19 dari negara luar.

"Kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak termasuk parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 yang belum reda sepenuhnya.

"Kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan untuk memastikan proses demokrasi terus berjalan di negara ini dan terjamin melalui sidang Parlimen.

"Bagaimanapun, keutamaan pada masa ini ialah usaha memastikan penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya, termasuk melindungi aspek kesihatan Ahli Parlimen, pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.

"Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil apabila tiba masanya yang sesuai, sama ada sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos nanti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasca mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno semalam, parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu mendesak dan mengesyorkan kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang, selaras titah Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Gesaan sama turut disuarakan beberapa pimpinan dan parti politik lain, termasuk daripada komponen Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Parlimen bebas, sebelum ini.

Takiyuddin berkata, pembukaan semula persidangan Parlimen bagaimanapun bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar akan diperoleh daripada semua pihak berkenaan, terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semasa darurat berkuat kuasa, semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran dibenarkan.

"Ini termasuk melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan menerusi Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal berkaitan kuat kuasa Darurat.

"Pada masa sama, tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka bahawa berlaku salah guna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi seperti biasa, termasuk dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguat kuasa, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC).

"Justeru, semua pihak diminta supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha giatnya demi memastikan kelangsungan hidup dan kehidupan rakyat melalui aspek-aspek kesihatan, ekonomi serta sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 11:45 AM