Azalina Othman.
Azalina Othman.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing bagi bacaan kali kedua walaupun berlakunya kekecohan selama 10 minit sebelum itu.

Sebelum ia diluluskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said terbabit dengan perang mulut dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang.

Antaranya yang tidak berpuas hati ialah Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta penjelasan Azalina berkait Fasal 32 dan Fasal 33 dalam RUU ini.

"Saya ingin menyentuh mengenai dua fasal iaitu Fasal 32 dan Fasal 33 yang disebut secara sepintas lalu oleh Menteri. Fasal 32 tajuknya ialah kuasa untuk mengecualikan manakala Fasal 33 kuasa untuk membuat peraturan.

"Saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai kedua-dua fasal ini yang jelas menyatakan bahawa kuasa untuk mengecualikan dan kuasa untuk membuat peraturan diberikan kepada Perdana Menteri, bukan Perdana Menteri dalam Majlis Kekebalan Negara Asing.

"Dalam hal ini, saya rasa ia agak berbeza dengan undang-undang di negara-negara lain yang terlebih awal dibuat daripada negara kita," katanya.

Beliau mengambil contoh undang-undang State Immunity Act 1978, United Kingdom dan Foreign States Immunities Act 1985, Australia.

Takiyuddin mempersoalkan mengapa Perdana Menteri diberikan kuasa yang luas berkait RUU ini.

"Persoalannya kenapa dalam undang-undang kita ini Perdana Menteri diberikan kuasa begini, tidak Yang di-Pertuan Agong?

"Sepatutnya Head of The State (Ketua Negara) mempunyai kuasa untuk membuat peraturan dan mengecualikan perkara ini. Kami di pihak pembangkang minta satu penjelasan dalam perkara ini," katanya.

Azalina kemudiannya berkata, kedua-dua contoh negara diberikan oleh Takiyuddin itu tidak mempunyai majlis dalam undang-undangnya.

"Dia seorang saja membuat keputusan, kita ada majlis. Majlis kita mempunyai lebih dari seorang. Perlindungan yang kita beri lebih banyak daripada Australia dan United Kingdom diperkatakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 3:41 PM