ANGGOTA Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga saudara yang lemas di Sungai Igan, Sibu. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga saudara yang lemas di Sungai Igan, Sibu. FOTO Ihsan Bomba
Harun Yahya


KEMERIAHAN Hari Gawai Dayak yang disambut esok dan Aidilfitri dijangka diraikan Rabu ini bertukar pilu buat sekeluarga di Rumah Panjang Augustine Meringgai Jana, di Nanga Tutus, di Sibu, apabila dua beradik dan sepupu mereka lemas ketika mandi di jeti kediaman mereka, Rabu lalu.

Mayat dua sepupu malang itu ditemui terapung di Sungai Igan, di sini, pagi tadi dengan mayat Nurul Syahiera Salam, 13, ditemui pada 7.05 pagi, manakala mayat Trance Janggok Tommy, 14, pula ditemui pada 7.20 pagi tadi.

Pada 2.30 petang semalam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui mangsa pertama, Trisha Janggok Tommy, 12.

Pemangku Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, kedua-dua mayat ditemui pagi tadi di lokasi kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian iaitu di kawasan Rassau, berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batang Igan.

“Mayat mangsa pertama iaitu Trisha pula ditemui berdekatan dengan pos kawalan bomba berhampiran tempat kejadian, semalam.

“Semua mangsa sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kejadian kira-kira 4 petang, Rabu lalu, berlaku ketika, Trisha dan adik lelakinya, Trance serta sepupu mereka Nurul Syahiera, mandi di jeti rumah panjang berkenaan.

Tiga bersaudara itu yang berada di jeti berkenaan bersama bapa saudara dan nenek mereka, dilihat terjun ke sungai namun terus hilang dibawa arus deras.

Gerakan SAR dilancarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dengan bantuan penduduk kampung sebaik sahaja laporan kejadian itu diterima pada 4.10 petang, Rabu lalu.

Berita berkaitan

Dua beradik, sepupu, dipercayai lemas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 11:33 AM