MAYAT mangsa lemas ditemui anggota bomba. FOTO ihsan JBPM
MAYAT mangsa lemas ditemui anggota bomba. FOTO ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Miri: Pekerja kapal yang dilaporkan lemas di Kuala Baram, Rabu lalu ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya diheret seekor buaya, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, penduduk menyedari mayat yang sudah kembung itu diheret buaya berdekatan jeti nelayan Kampung Masjid, Kuala Baram, pada 7.15 malam.

Bagaimanapun katanya, buaya terbabit kemudian melepaskan mayat berkenaan sekali gus membolehkan anggota mengambilnya.

"Mayat mangsa berjaya diambil pada 9.15 malam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Mangsa adalah warga Indonesia, Andriadi Kristianto, 37, dan pengesahan itu dibuat majikan berdasarkan pakaiannya," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mangsa dilaporkan lemas di Sungai Baram ketika membuka tali yang terbelit pada kipas kapal petang Rabu lalu.

Sejurus menerima panggilan pada jam 4.02 petang, Rabu lalu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan sejak malam Rabu dan dihentikan sebaik mayat mangsa ditemui malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 10:49 PM