NIK Hafidzul Furqan yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Nik Hafidzul Furqan
NIK Hafidzul Furqan yang tular di media sosial. FOTO Ihsan Nik Hafidzul Furqan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“MULANYA, mereka (pengantin) nak singgah ke pasar malam beli makanan tetapi bila sampai di situ, saya dapat idea nak rakam gambar perkahwinan mereka di sana,” kata jurugambar Nik Hafidzul Furqan Nik Ahmad Sabri, 26.

Idea kreatif Nik Hafidzul Furqan yang merakam gambar pasangan pengantin Nurul Sazreen Alias dan Badrul Amin Mashari@Mashuri, masing-masing berusia 22 tahun, di pasar malam Taman Gelora, Kuantan, Ahad lalu akhirnya tular di laman sosial.

Menceritakan semula pengalaman itu, Nik Hafidzul Furqan berkata, ketika tiba di pasar malam berkenaa, dia lihat banyak sudut menarik dan latar belakang yang lain daripada lain untuk album perkahwinan mereka.

“Jadi saya putuskan untuk buat sesi fotografi di kawasan pasar malam untuk pasangan itu.

“Detik itu berlaku secara spontan dan merasakan satu kelainan buat pasangan pengantin berkenaan merakam gambar mereka dalam suasana meriah dikelilingi orang ramai membeli barangan,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, hari ini.

Nik Hafidzul Furqan yang berpengalaman empat tahun dalam bidang fotografi berkata, pada awalnya dia mengambil gambar pasangan itu di jeti Tanjung Api di Kuantan, pada 7 malam sebelum pasangan itu memaklumkan ingin ke pasar malam membeli makanan.

Katanya, dia ditemani isteri Wan Nur Shobihah Wan Hamid, 25, mengikuti ikut mereka dan di situ bermula idea kreatif, teknik sudut gambar serta minta mereka tonjolkan untuk dirakam dan ditatap pada album perkahwinan.

“Orang ramai dan penjual di pasar malam juga sangat ramah dan bersahaja.

“Pengantin juga beri kerjasama baik hingga membolehkan saya dapat rakam gambar mereka seperti diinginkan,” katanya yang memuat naik beberapa keping gambar ke laman sosial Facebook (FB) sejak Isnin lalu.

AKSI bersahaja pasangan pengantin memilih pakaian di pasar malam untuk sesi fotograi album perkahwinan mereka. FOTO Ihsan Nik Hafidzul Furqan
AKSI bersahaja pasangan pengantin memilih pakaian di pasar malam untuk sesi fotograi album perkahwinan mereka. FOTO Ihsan Nik Hafidzul Furqan

Antara gambar dirakam Nik Hafidzul Furqan memaparkan pasangan itu sedang memasak mi goreng, membeli air dan memilih pakaian.

Anak ketiga daripada empat beradik itu tidak menyangka perkongsian di FB peribadinya tular begitu cepat dan dikongsi oleh laman FB popular lain.

Nik Hafidzul Furqan berkata, dia suka berkongsi hasil kerja terbaik di FB untuk tatapan orang ramai dan bakal pelanggan, selain meminati bidang fotografi dan menyunting gambar secara mendalam.

Dia juga dikenali sebagai ‘Eby Joe’ dalam kalangan rakan terdekat dan pelanggan memaklumkan idea kreatif dan saat spontan seperti dilakukannya beberapa hari lalu menuntut ketekunan dan kesabaran yang tinggi sebelum boleh mendapat gambar terbaik.

“Insya-Allah selepas ini saya cuba hasilkan idea yang lebih kreatif untuk sesi fotografi pengantin. Tetapi, ia juga bergantung kepada pengantin, jika mereka ‘sporting’ baru boleh lakukan,” katanya.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, selain mengambil gambar perkahwinan dia juga menerima tempahan merakam gambar produk, model, majlis keraian dan apa sahaja bidang fotografi yang difikirkan bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:15 PM