ABDUL Hamid pada sidang media di Markas Taktikal, Lubok Stol, Rantau Panjang. FOTO Syamsi Suhaimi
ABDUL Hamid pada sidang media di Markas Taktikal, Lubok Stol, Rantau Panjang. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail


POLIS mengesahkan memiliki petunjuk baharu berhubung kes ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya berharap Jho Low akan dibawa pulang ke negara ini dalam masa terdekat.

Katanya, usaha kini sedang giat dijalankan untuk membawa individu itu ke muka pengadilan.

“Insya-Allah ada, sabar je, saya serius ni. Tahu lama dah.

“Kita akan cuba membawanya balik untuk dihadapkan ke muka pengadilan

“Semua orang tertunggu-tunggu pasal inilah petualang di sebalik bukti demi bukti yang didedahkan di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengadakan lawatan singkat di sempadan Malaysia-Thailand di Markas Taktikal, Lubok Stol, Rantau Panjang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Abdul Hamid turut menyifatkan Jho Low sebagai seorang pengecut apabila mengeluarkan kenyataan berhubung isu 1MDB menerusi peguamnya.

“Dengan sombongnya dia (Jho Low) mengeluarkan kenyataan penakutnya dari Hong Kong, Macau menerusi peguamnya untuk mempersendakan tindakan kerajaan terhadap 1MDB.

“Dia memang seorang pengecut dan seorang yang sepatutnya disumbat dalam penjara terhadap rompakan menyebabkan negara berhutang begitu banyak wang,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, PDRM sedang mengesan empat individu bagi membantu siasatan kes berhubung 1MDB.

Mereka ialah tiga rakyat Malaysia, iaitu Low Hock Peng, 67; Goh Gaik Ewe, 67; dan Tan Kim Loong, 41; serta seorang wanita warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani atau Natasha Mirpuri, 55.

Mengikut rekod, Tan Sri Larry Low Hock Peng dan Gaik Ewe adalah ibu bapa kepada Jho Low yang dalam buruan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:20 PM