AZMI (dua kiri) dan Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Tok Bali, Asisten Superintendan Nik Ali Nik Mat (dua kanan) menunjukkan air ketum yang sudah dibotolkan ketika sidang media di Markas Taktikal PPM, Tok Bali. FOTO Nor Amalina Alias
AZMI (dua kiri) dan Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Tok Bali, Asisten Superintendan Nik Ali Nik Mat (dua kanan) menunjukkan air ketum yang sudah dibotolkan ketika sidang media di Markas Taktikal PPM, Tok Bali. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


SEORANG lelaki tidak sempat ‘beraya’ dengan duit hasil jualan ketum apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tok Bali, Wilayah Tiga Kelantan bersama 105 liter air ketum di rumahnya di Jalan Tok Bali Semerak, Cherang Ruku, Pasir Puteh, semalam.

Timbalan Komander PPM Wilayah Tiga, Kuantan, Pahang Superintendan Azmi Ahmad berkata, suspek berusia 41 tahun ditahan ketika sedang memproses air ketum pada jam 4.30 petang.

Katanya, rampasan membabitkan 70 botol air ketum dan seperiuk daun ketum dianggarkan bernilai RM2,100.

“Ketika serbuan, lelaki itu sedang leka mengisi air ketum ke dalam botol untuk dijual kepada penduduk tempatan dan pelanggan tetap yang mendapatkan bekalan itu di rumahnya.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menemui 70 botol air ketum di rumah terbabit,” katanya dalam sidang media di Markas Taktikal PPM, Tok Bali, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati bekalan daun ketum dipercayai diperoleh dari Perlis dan Kedah.

“Suspek menjadikan aktiviti memproses ketum dan jualan air ketum dengan harga RM15 sebotol sebagai cara mendapatkan duit dengan mudah.

“Sebelum ini, suspek sudah lebih tiga kali ditangkap atas kesalahan menjual air ketum namun masih tidak serik menjual air ketum bersama ubat batuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 4:05 PM