Shamsul Munir Safini


AKIBAT leka dipercayai menggunakan telefon bimbit, seorang pemandu lelaki merempuh palang besi Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi, lelaki berusia 26 tahun dan memandu Toyota Vios berpelekat P didakwa gagal memberhentikan kenderaannya sebelum merempuh palang tol.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat rempuhan itu, palang tol tidak patah sebaliknya melentur dan terperosok ke dalam kereta.

“Pemandu berkenaan mendakwa gagal menekan brek kerana terleka sebelum merempuh palang tol.

“Mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian disaman ekoran kejadian itu.

ANGGOTA polis membuat pemeriksaan pada kereta yang merempuh palang besi Plaza Tol Sungai Dua. FOTO ihsan PDRM
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan pada kereta yang merempuh palang besi Plaza Tol Sungai Dua. FOTO ihsan PDRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 2:42 PM