SHAMSUL Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes Najib berhubung SRC International. FOTO Zunnur Al Shafiq
SHAMSUL Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes Najib berhubung SRC International. FOTO Zunnur Al Shafiq
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah

“SEKIRANYA tahu itu akaun peribadi milik Datuk Seri Najib Razak, saya tidak akan membuat pemindahan wang berjumlah RM42 juta milik syarikat,” kata bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurutnya, pemindahan wang RM42 juta itu dibuat dua kali pada 26 Disember 2014 dan 9 Februari 2015 ke dalam dua akaun iaitu AmPrivate Banking-1MY dan AmPrivate Banking-MY.

“Pada 26 Disember 2014, sebanyak RM27 juta dan RM5 juta dimasukkan oleh IPSB ke dalam akaun bernombor akhir 880 dan akaun bernombor akhir 906. Manakala pada 9 Februari 2015 sebanyak RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun bernombor akhir 880.

“Saya membuatnya atas permintaan Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan 1 Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling dan Pengarah Projek Dennis See Thuan Buan. Walaupun saya tidak tahu apa tujuan sebenar duit itu dipindahkan namun tetap melakukannya atas arahan mereka berdua,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi pada hari ke-18 perbicaraan membabitkan dana SRC International.

Saksi ke-37 itu berkata, beliau tidak mengetahui siapa pemilik kedua-dua akaun itu bagaimanapun pernah meminta akauntan syarikat untuk membuat semakan.

“Saya pernah meminta Aishah Ghazali untuk membuat semakan terhadap akaun itu bagaimanapun dia maklumkan bahawa bank tidak boleh memaklumkan siapa pihak ketiga.

“Saya turut meminta Datuk Abdul Aziz Ismail (Juga pengarah urusan IPSB) menyemak pemilik akaun itu tetapi beliau tidak ada memaklumkan hasil semakannya. Jika saya tahu ia milik Najib saya tidak akan membuat pindahan itu,” katanya.

Terdahulu, Dr Shamsul Anwar memberitahu mahkamah bahawa See pernah datang berjumpa dengannya di pejabat IPSB dan memaklumkan berhubung penggunaan akaun syarikat itu.

“Saya dimaklumkan bahawa akaun IPSB akan dipinjamkan untuk menyimpan sejumlah wang sementara sebelum dipindahkan keluar.

“Saya ada meminta butiran lengkap daripada See tetapi beliau tidak memberikan sebarang penjelasan dan enggan memaklumkan butiran yang saya mahu,” katanya.

Saksi mengesahkan bahawa terdapat sejumlah RM50 juta wang dimasukkkan ke dalam akaun IPSB dan mendakwa tidak mengetahui sumber dana itu.

“Saya sahkan terdapat wang berjumlah RM40 juta masuk ke dalam akaun IPSB pada 24 Disember 2014 manakala sebanyak RM5 juta lagi masuk ke dalam akaun masing-masing pada 5 Februari dan 6 Februari 2015.

“Saya tidak tahu siapa yang memasukkan semua wang itu,”katanya.

Terdahulu, Dr Shamsul memberitahu mahkamah bahawa berdasarkan Penyata Kewangan IPSB pada 30 Jun 2012 mengesahkan bahawa syarikat itu ada menerima dana tambahan iaitu sebanyak RM62,048,208 juta.

“Berdasarkan perjanjian kerjasama 1MDB dan YR1M memberi RM40 juta dan dana tambahan menjadikan ia berjumlah lebih RM60 juta. Bagi penyata 30 Jun 2013 pula, dana yang diterima ialah sebanyak RM302,082,500 juta.

“Ada sumbangan tambahan bagi tujuan CSR dan juga kerana Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei 2013. Manakala berdasarkan penyata bagi 30 Jun 2014, dana IPSB diterima adalah RM37.1 juta,” katanya.

Berikut adalah senarai penerima dana untuk tempoh 2012/2013 iaitu Nadi Kasih (RM78.5 juta); Jalinan Murni (RM6.5 juta); Ihsan Samudera (RM17.5 juta); Vitamin 1Malaysia (RM9.5 juta); Ihsan Ramadhan & Aidilfitri (RM22.5 juta); Projek Masjid Jamek Kampung Baru (RM6 juta); Projek Kilat Bantuan Bencana Alam-Kajang (RM582,500); Cergas Ceria (RM10 juta) dan Projek H20 Bekalan Air di Sabah/Sarawak) RM29.5 juta.

Sementara itu, sumbangan tambahan yang diterima dari dua syarikat itu juga digunakan untuk Projek Khas Haji (RM10 juta); Projek Eureka (RM45 juta); Program Titian Emas (RM100 juta) serta Projek Air Kelantan (Tidak dimaklumkan jumlah).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 7:07 PM