HALIZA ketika melakukan proses pembungkusan serbuk dadih di Gerai Perda Bumbung Lima, Kepala Batas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
HALIZA ketika melakukan proses pembungkusan serbuk dadih di Gerai Perda Bumbung Lima, Kepala Batas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Nur Izzati Mohamad


HAMPIR enam tahun berkecimpung dalam perniagaan dadih mendorong sepasang suami isteri menawarkan kelas untuk orang muda dan ibu tunggal secara percuma.

Azhar Kasim, 51, dan isterinya Haliza Yahaya, 47, mahu membantu orang muda dan ibu tunggal yang berkeinginan dalam bidang keusahawanan menjana pendapatan melalui perniagaan dadih.

Ini kerana, produk dadih keluaran Bumiputera mendapat permintaan begitu tinggi, bahkan mula menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut Azhar, produk dadih yang dikeluarkannya dengan jenama ‘Art Dadih’ mendapat sambutan hangat di Singapura dan kini sedang mengintai masuk ke pasaran Brunei.

“Berikutan permintaan menggalakkan itu, ia membuka mata ramai pihak kerana ia bukan sahaja digemari rakyat di negara ini, bahkan luar negara.

“Melalui perkembangan positif ini, saya dan isteri mahu berkongsi rezeki dengan mengadakan kelas percuma kepada orang muda serta ibu tunggal yang berminat untuk mereka menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Bumbung Lima, Kepala Batas.

AZHAR bersama Haliza menunjukkan produk Art Dadih di Gerai Perda Bumbung Lima, Kepala Batas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
AZHAR bersama Haliza menunjukkan produk Art Dadih di Gerai Perda Bumbung Lima, Kepala Batas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Beliau berkata, produk dadih keluarannya berjaya menembusi pasaran Singapura pada 2016 dan kini mempunyai tiga cawangan.

“Kami merancang untuk membuka tiga lagi cawangan di Singapura tahun ini memandangkan sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan.

“Ketika ini, setiap bulan lebih 1,000 kotak dadih 200 gram dieksport ke Singapura,” katanya.

Sementara itu, Haliza berkata, kelas yang ditawarkan dia dan suami memerlukan individu yang mempunyai minat mendalam untuk meneroka perniagaan dadih.

“Kami tidak minta sesen pun dan apa yang kami mahu adalah minat daripada mereka yang datang untuk belajar,” katanya.

Setakat ini, Art Dadih mempunyai tujuh perisa iaitu coklat, keladi, jagung, mangga, vanila, pandan dan strawberi.

Pasangan suami isteri itu merancang menambah dua lagi perisa iaitu laici dan durian bagi mempelbagaikan produk mereka selain sedang mahu membesarkan operasi dengan membina sebuah kilang tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 10:30 PM