Kehadiran tapir yang sempat dirakam penduduk di Ulu Duyong, Melaka pada pagi tadi. Foto Ihsan Pembaca
Kehadiran tapir yang sempat dirakam penduduk di Ulu Duyong, Melaka pada pagi tadi. Foto Ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi


TAPIR yang dirakam memasuki pekarangan sebuah rumah di Ulu Duyong di Melaka, awal pagi tadi dipercayai keluar dari habitatnya untuk mencari makanan.

Haiwan dengan nama saintifiknya Tapirus Indicus itu dikatakan tersesat dan memasuki pekarangan rumah penduduk berkenaan kira-kira 3 pagi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka Mohd Hasdi Husin berkata, laporan mengenai kehadiran tapir itu diterima pihaknya daripada seorang penduduk kampung.

“Tapir berkenaan dipercayai keluar untuk mencari makanan kerana haiwan liar ini aktif pada waktu malam.

“Anggota sudah ke lokasi tetapi haiwan itu sudah tiada dan dipercayai masuk semula ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sekiranya dalam masa terdekat ini pihaknya masih menerima laporan serta terdapat gangguan daripada haiwan berkenaan, tindakan memasang perangkap akan dibuat.

“Dalam tempoh sehari dua ini kita akan melakukan pemantauan, jika masih terdapat laporan perangkap akan dipasang.

“Sehingga kini, hanya dua laporan diterima PERHILITAN iaitu dua hari lepas di Krubong dan hari ini di Ulu Duyong, manakala tahun lepas pula diterima di Lendu serta Ayer Paabas di Alor Gajah,” katanya.

Mohd Hasdi berkata, tapir yang dilihat berkeliaran di Krubong dan masuk ke pekarangan rumah awal pagi tadi adalah dua haiwan berlainan.

Menurutnya, berdasarkan jarak antara Krubong ke Ulu Duyong iaitu kira-kira 20 kilometer adalah mustahil untuk haiwan berkenaan berjalan sejauh itu dalam tempoh dua hari.

“Sekiranya penduduk atau orang awam ada terserempak dengan tapir di kawasan tempat tinggal boleh menghubungi PERHILITAN dengan segera dan dinasihatkan agar tidak bertindak atau mengapa-apakan haiwan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 9:15 PM