Raja Noraina Raja Rahim


JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) mengambil sampel makanan di bazar Ramadan di seluruh negeri ini, untuk diuji bagi memastikan tahap kebersihan makanan dijual kepada pengguna.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali berkata, sampel makanan itu akan dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan untuk ujian sama ada mempunyai bakteria mendatangkan penyakit atau sebaliknya.

Menurutnya, setakat ini, lapan sampel makanan dari bazar Ramadan di sekitar Seremban sudah diambil dan 32 sampel makanan lagi akan diambil oleh pegawai kesihatan daerah lain.

“Persampelan makanan dibuat ke atas beberapa jenis makanan berisiko tinggi seperti lauk pauk berasaskan ayam atau daging dan mengandungi santan, kuih-muih yang banyak menggunakan kelapa, makanan mentah serta minuman.

“Sampel itu kemudian dihantar ke makmal untuk ujian dan keputusan dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu hingga 2 minggu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Bersepadu Pemeriksaan Bazar Ramadan 2019 di Bazar Ramadan Ampangan di Seremban, hari ini.

Operasi itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan.

VEERAPAN (dua dari kanan) melihat pegawai JKNS mengambil sampel makanan di Bazar Ramadan Ampangan, Seremban hari ini sambil diperhatikan Dr Zainudin (kanan). FOTO Adzlan Sidek.
VEERAPAN (dua dari kanan) melihat pegawai JKNS mengambil sampel makanan di Bazar Ramadan Ampangan, Seremban hari ini sambil diperhatikan Dr Zainudin (kanan). FOTO Adzlan Sidek.

Mengulas lanjut, Dr Zainudin berkata, berdasarkan keputusan ujian itu sekiranya ada makanan dikesan mempunyai bakteria tindakan lanjut akan diambil terhadap peniaga terbabit.

Beliau berkata, selain itu, jika ada aduan atau laporan mengenai keracunan makanan tindakan segera akan diambil terhadap peniaga.

“Sehubungan itu, peniaga dinasihati supaya menyediakan makanan dengan cara betul, memakai pakaian bersih serta peralatan memasak digunakan mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:59 PM