Yusmizal Dolah Aling


MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bimbang agenda Islamofobia di beberapa negara akan menimbulkan kesan lebih buruk hingga membawa kepada tindakan lebih drastik seperti berlaku di Sri Lanka.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tragedi letupan bom berangkai di gereja di negara itu menjadi bukti wujud gerakan meniup kebencian terhadap umat Islam biarpun ia adalah tuduhan tidak berasas sama sekali.

Katanya, keganasan berlaku di mana-mana dan pelakunya bukan saja terarah kepada Islam semata-mata, sebaliknya didalangi pelampau daripada pelbagai latar belakang agama.

“Kita tidak tahu apa sebenar berlaku dan kenapa serangan itu disasarkan ke gereja. Tetapi kesan insiden itu menjejaskan imej Islam di seluruh dunia.

“Berikutan itu kita tuntut kerajaan Sri Lanka melindungi orang awam dan menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menjaga penduduk Islam di sana,” katanya.

Beliau berkata, demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Pertama Pesuruhjaya Jaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia Bhagya Abeykoon, hari ini.

Mohd Azmi berkata, ketika ini sudah ada kempen terhadap Islam oleh kumpulan tertentu yang melakukan tindakan drastik.

MOHD Azmi (tengah) bersama NGO Islam. FOTO Rosela Ismail.
MOHD Azmi (tengah) bersama NGO Islam. FOTO Rosela Ismail.

Menurutnya, kemarahan itu mungkin juga rentetan dengan apa yang berlaku di Christchurh, New Zealand baru-baru ini.

Dia memberitahu MAPIM dan seluruh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia mengutuk serangan itu dan menolak sebarang kegiatan keganasan dikaitkan dengan Islam.

Katanya, usaha untuk mempertahankan Islam perlu dipertingkat dan berterusan supaya tiada pihak boleh memperkotak katikkan agama dengan kaitan kepada kegiatan bersifat radikal.

“Isu ini semakin lama semakin menekan umat Islam. Seolah-olah memang pelakunya adalah Muslim.

“Ini yang perlu kita hebahkan agar dunia menghormati kita seperti mana Islam menghormati agama lain,” katanya.

Bom Easter Ahad atau Easter Sunday Bombing pada 21 April lalu menyaksikan siri letupan berangkai yang mengorbankan 320 nyawa di beberapa kota di Sri Lanka membabitkan tiga gereja diletupkan iaitu St Anthony di Colombo, St Sebastian di Negombo dan Zion Church di Batticaloa.

Selain itu, tiga lagi bom diletupkan di Cinnamon Grand Hotel & Shang-Ri La di Colombo dan Tropical Inn di Dehiwala manakala letupan terakhir berlaku di kawasan perumahan di Dematoga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:33 PM