Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching atas pertuduhan menipu. FOTO Ihsan PDRM
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kuching atas pertuduhan menipu. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Roji Kawi


WANITA warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuching hari ini atas pertuduhan menyamar sebagai bomoh untuk menipu seorang wanita tempatan di Bandar Baru MJC Batu Kawa, bulan lalu.

Li Yufen, 34, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muzaffar Syah Ibrahim di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah menetapkan 11 Jun ini sebagai tarikh pengurusan kes dan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Beliau turut mengarahkan tertuduh ditahan reman di Penjara Puncak Borneo dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pada 11 April lalu tertuduh didakwa mengarahkan mangsa berusia 55 tahun menyerahkan wang tunai serta barang kemas berjumlah RM180,000 kononnya untuk upacara menghalau hantu di kediaman mangsa.

Bagaimanapun, mangsa yang menyedari diperdaya kemudiannya membuat laporan polis dan tertuduh berjaya ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di Miri 21 April lalu.

“Dia didapati bergerak merata tempat di Sarawak untuk memperdaya mangsa dan akan didakwa atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Sibu serta satu kes lagi mengikut seksyen sama di Miri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 12:40 PM