PEKERJA Dynar Lekor menghulurkan keropok lekor dibeli pelanggan dihadapan kaunter pandu lalu, di Kuala Nerus. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PEKERJA Dynar Lekor menghulurkan keropok lekor dibeli pelanggan dihadapan kaunter pandu lalu, di Kuala Nerus. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


PERUSAHAAN keropok lekor Dynar Lekor di Kampung Buluh Gading mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi premis jualan keropok lekor pertama di negeri ini menyediakan perkhidmatan pandu lalu.

Pengusahanya, Dasimah Mohd Dagang, 40, berkata, dia merancang menyediakan perkhidmatan itu sejak 2017 berikutan permintaan menggalakkan di cawangan pertamanya di Kampung Bukit Tok Beng.

“Bagaimanapun, ruang terhad di cawangan Bukit Tok Beng menyebabkan perkhidmatan itu tidak dapat disediakan.

“Jadi, saya bersama suami, Rozlan Mohd Nor, 41, membuka cawangan Dynar Lekor kedua di Kampung Buluh Gading sejak pertengahan Januari lalu dengan perkhidmatan pandu lalu bermula hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kaunter Pandu Lalu di Kedai Dynar Lekor, Kuala Nerus hari ini.

Dasimah berkata, pembukaan cawangan itu memberi ruang kepadanya merealisasikan hasratnya menyediakan perkhidmatan pandu lalu seperti restoran makanan segera.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, pelanggan tidak perlu beratur panjang di dalam kedai membeli keropok.

“Mereka boleh terus ke kaunter pandu lalu membuat tempahan dalam proses yang memakan masa antara tiga hingga lima minit,” katanya.

Katanya, dia juga menyediakan perkhidmatan tempahan keropok lekor melalui atas talian dan menguruskan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan.

“Sekarang ini zaman teknologi dan kami perlu memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang ada sesuai dengan kehendak pelanggan.

“Rata-rata pelanggan dari dalam dan luar negeri mengharapkan kami menyediakan perkhidmatan yang boleh memudahkan mereka membeli keropok lekor.

“Mereka tidak mahu lagi menunggu lama untuk membeli keropok lekor terutama pada musim cuti sekolah,” katanya.

Menurutnya, dia berharap perkhidmatan pandu lalu disediakan itu dimanfaatkan sebaik mungkin pelanggan kerana ia dilaksanakan untuk memberi kemudahan kepada mereka.

“Terlalu awal untuk kami menilai keberkesanan dan manfaat perkhidmatan ini namun kami yakin ia adalah pembaharuan yang banyak memberi kemudahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 3:56 PM