YAP
YAP
Sri Ayu Kartika Amri


TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) bersedia melancarkan aplikasi Scan & Shop ke semua cawangannya pada separuh pertama tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk menjadi perkhidmatan mesra digital.

Sehingga kini, 59 daripada 60 cawangan Tesco dilengkapi aplikasi Scan & Shop manakala cawangan Tesco Extra Selayang pula akan mula menerima aplikasi ini mejelang Jun 2020.

Pengarah Pelanggan Tesco, Vivian Yap berkata, dengan penyediaan aplikasi Scan & Shop di cawangan Tesco, pihaknya menawarkan kemudahan yang boleh mempercepat proses beli-belah kepada pelanggan.

“Penyelidikan pasaran kami sendiri menunjukkan bahawa pelanggan mempunyai kehidupan yang sangat sibuk dan membeli-belah untuk keperluan harian menjadi tugasan yang tidak digemari.

“Kini, pelanggan ingin mencari barangan yang mereka inginkan dan menyelesaikan perbelanjaan mereka secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store Apple membolehkan pelanggan menjejaki perbelanjaan mereka secara segera kerana mereka boleh mengimbas barang terbabit secara sendiri ketika membeli-belah di Tesco.

Sebaik saja selesai, pelanggan boleh pergi terus ke Kaunter Layan Diri atau Kaunter Tunai, sediakan kod bar yang dihasilkan oleh aplikasi Scan & Shop dan bayar tanpa perlu mengeluarkan apa-apa barang dari bakul atau troli mereka.

Aplikasi Scan & Shop juga memberi manfaat penjimatan wang kepada pelanggan kerana aplikasi ini membolehkan mereka menjejaki jumlah nilai barangan rumah dalam troli sebelum membuat pembelian.

“Antara objektif utama kami di Tesco adalah membantu pelanggan menguruskan kos sara hidup mereka.

“Kami sudah melakukan dan masih melakukan ini dengan memastikan harga ayam halal kami kekal rata pada RM5.99 sekilogram sejak Ogos 2016 dan rangkaian Tesco Own Brand kami adalah secara purata 10 peratus lebih murah daripada jenama nasional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 9:15 AM