PEGAWAI penguat kuasa memeriksa dapur sebuah premis dalam Operasi Penang Sihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dan MBPP di Lebuh Chulia, Georgetown. FOTO ihsan JKN Pulau Pinang.
PEGAWAI penguat kuasa memeriksa dapur sebuah premis dalam Operasi Penang Sihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang dan MBPP di Lebuh Chulia, Georgetown. FOTO ihsan JKN Pulau Pinang.
Zuhainy Zulkiffli


LANTAI dapur dipenuhi darah ayam antara kesalahan menyebabkan restoran terkenal di Georgetown diberi notis penutupan selama 14 hari berkuat kuasa kelmarin (10 hingga 23 Julai 2019) .

Keadaan dapur terbabit dikenal pasti menerusi Operasi Penang Sihat yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut (PKDTL) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sekitar Lebuh Chulia dan Lebuh Pasar.

Dapur restoran terkenal dalam kalangan pengunjung tempatan dan luar negara itu didapati tercemar dengan najis tikus berikutan kawalan makhluk perosak tidak efektif.

Jurucakap PKDTL berkata, restoran terkenal itu antara tiga premis menerima notis penutupan berikutan tidak mencapai tahap kebersihan.

Katanya, pemeriksaan di restoran kedua pula mendapati pemilik premis menggunakan peti sejuk berkarat bagi menyimpan bahan makanan selain tidak melabel bekas makanan seperti ditetapkan.

“Bahan mentah iaitu ayam pula didapati dibiarkan terdedah selain menggunakan papan pemotong tidak sesuai.

“Tong sampah tidak tertutup dan pengendali di semua restoran tiada peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap ketika bekerja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, pemeriksaan di premis ketiga mendapati terdapat najis lipas dalam tempat penyimpanan makanan selain lantai dapurnya kotor dan basah.

“Manakala bahan mentah iaitu ikan pula didapati dibiarkan terdedah di dapur premis terbabit,” katanya.

Sebanyak 10 premis diperiksa menerusi operasi itu dan empat notis dikeluarkan membabitkan tiga kesalahan premis tanpa lesen serta pembinaan tandas haram (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 1:37 AM