POLIS menahan seorang lelaki kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menahan seorang lelaki kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


EMPAT belas pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah ditahan polis di enam lokasi berasingan dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah, kelmarin.

Operasi bermula 4 petang itu dijalankan di kawasan dalam dan luar bangunan kompleks beli belah, Segama, Manggatal, Jalan Bantayan, Batu 6 dan Kampung Kitobu, Inanam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, operasi selama tujuh jam itu memeriksa seramai 47 orang dan menahan 14 individu disyaki PATI.

“Selepas menjalankan pemeriksaan ke atas 47 orang, seramai 13 lelaki dan seorang wanita tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“PATI yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 33 tahun disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

George berkata, tumpuan lokasi operasi yang dijalankan adalah kawasan bandar raya kerana kadar pertumbuhan PATI yang mengundang kepada kegiatan jenayah di bandar raya ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang awam berkaitan jenayah di kawasan mereka.

Operasi itu dibantu oleh beberapa agensi iaitu Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 10:59 AM