Keadaan di kawasan Indah Permai, Manggatal di Kota Kinabalu yang dilanda banjir kilat. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan di kawasan Indah Permai, Manggatal di Kota Kinabalu yang dilanda banjir kilat. Foto Ihsan Pembaca
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Hujan lebat yang berlaku sejak 5 petang menyebabkan beberapa lokasi sekitar bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Antara lokasi yang terjejas akibat banjir adalah pekan Manggatal, Kampung Rampayan, Indah Permai, Kampung Rugading serta beberapa lagi perumahan di kawasan Kolombong di sini.

Selain itu, turut dilaporkan banjir sekitar Kampung Inanam Laut, Kampung Bantayan, Kampung Tatahan, Kampung Kitobu, Kampung Keliangau dan Kampung Cenderakasih, Likas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.19 malam.

Menurutnya, seramai 22 anggota bersama jentera penyelamat kemudiannya dikerah ke lokasi untuk operasi menyelamatkan mangsa banjir.

"Setakat ini, sebanyak empat keluarga diselamatkan dari kawasan Pekan Manggatal ke tempat selamat.

"Dalam operasi terkini, pasukan bomba sudah menyelamatkan sembilan orang dewasa membabitkan tiga lelaki dan enam wanita," katanya ketika dihubungi.

Agustavia berkata, sehingga 10 malam tadi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu masih berada di lokasi untuk memantau.

"Ini berikutan keadaan pekan Manggatal terjejas teruk sehingga jalan raya di kawasan berkenaan terputus dan tidak boleh dilalui kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 10:40 PM