ACENG memeluk anaknya di penjara. FOTO Agensi.
ACENG memeluk anaknya di penjara. FOTO Agensi.
Agensi

Jakarta: Suasana penuh hiba apabila seorang banduan yang terhalang daripada memeluk anak perempuannya di sebalik jeriji besi penjara menyebabkan anggota penjara membuka pintu itu tular di media sosial.

Video itu tular dan dirakam seorang anggota polis Jambi, Handoko.

DetikNews melaporkan, dia mengaku pada awalnya hanya ingin memeriksa banduan lain.

Dalam video itu seorang kanak-kanak perempuan berpakaian merah jambu melawat seorang banduan lelaki bernama Aceng yang juga ayahnya di dalam ruang tahanan itu.

Pada mulanya, mereka terpisah dengan jeriji ketika berpelukan bagi melepaskan kerinduan.

Sesaat kemudian, polis berjalan ke arah sel penjara dan membuka pintu menyebabkan Aceng terharu dengan tindakan polis membuka pintu sel itu.

Aceng lalu membuka pintu jeriji besi dan keluar memeluk anak perempuan yang melawatnya dan kemudian menggendong kanak-kanak itu.

Lebih memilukan, kanak-kanak itu dilihat memeluk dan mencium bapanya berulang kali meruntun hati semua yang melihat kejadian itu.

Sementara itu, Handoko mengaku sengaja membuka pintu sel kerana hiba melihat banduan kesukaran memeluk anaknya di sebalik jeriji besi itu.

"Saya tidak dapat menahan kesedihan melihat dia teringin memeluk anaknya, tetapi terhalang jeriji besi hingga akhirnya saya buka pintu selnya untuk sementara supaya dia dapat memeluk anaknya dan itu juga dalam penjagaan saya," kata Handoko.

Polis Indonesia menganggap tindakan Handoko membuka sel tahanan untuk memeluk anaknya tidak membawa masalah.

"Ya tiada apa-apa. Prinsipnya tidak jadi masalah dan berada di bawah pengawasan," kata Pengarah Penerangan Polis Indonesia, Ahmad Ramadhan.

Katanya, mengenai pembebasan banduan sudah diberi panduan, dan hal sama turut diberikan kepada banduan lain.

"Prinsipnya sama, namun yang membezakan adalah apabila tahanan dikhuatiri melarikan diri atau keadaan tahanan termasuk kesihatannya.

"Pertimbangan tertentu boleh dilihat oleh anggota jaga tahanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 1:56 PM