Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

KANAK-KANAK perempuan berusia 10 tahun ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung dengan tali di leher dan terikat pada pemegang tangga di rumahnya Perdana Cheras, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan sebuah hospital swasta yang memaklumkan ada menerima kanak-kanak perempuan sebagai pesakitnya.

Menurutnya, kanak-kanak itu dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dihantar oleh ibu bapanya ke hospital berkenaan pada 6.55 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan tergantung pada 5.30 pagi.

“Mangsa yang juga anak sulung daripada dua beradik dan masih bersekolah, kali terakhir dilihat kira-kira 9 malam sebelum tidur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sabri berkata, siasatan lanjut di lokasi tidak menemui sebarang perbuatan yang boleh dikaitkan dengan perbuatan jenayah.

“Keterangan ahli keluarga sudah diambil dan hasil proses bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa adalah akibat menggantung diri.

“Tiada kesan kecederaan lain dan tiada tanda serangan seksual pada mangsa, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 12:15 PM