Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norsyazwani Nasri


TERPEDAYA dengan gambar wanita cantik menyebabkan seorang anggota tentera kerugian wang simpanan RM60,000 apabila menjadi mangsa sindiket 'Love Scam'.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, lelaki berusia 28 tahun itu antara mangsa terbaru sindiket penipuan cinta yang semakin menular di Sarawak.

Katanya, berdasarkan laporan polis dibuat, mangsa diminta membuat pembayaran ke satu akaun bank sebagai 'wang hantaran' untuk membiayai majlis perkahwinan dengan wanita dikenali sebagai Aishah.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa bersetuju untuk berkahwin dan membuat pemindahan wang RM30,000 yang diminta ke dalam akaun atas nama seseorang pada Disember 2016.

"Pada Jun 2017, mangsa melakukan beberapa lagi transaksi pemindahan wang dalam talian ke akaun sama yang keseluruhannya berjumlah RM30,000 sebagai tambahan wang hantaran perkahwinan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengadu pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa, namun menyedari ditipu apabila suspek tidak dapat dihubungi selepas membuat pembayaran berjumlah RM60,000.

"Berdasarkan modus operandi digunakan, suspek memperdaya mangsa untuk jatuh cinta, kemudian meminta mangsa memindahkan wang ke akaunnya atas alasan untuk berkahwin.

"Pengadu hanya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selepas berasa tertipu dengan pelbagai janji manis suspek," katanya.

Katanya, anggota tentera terbabit jatuh cinta dengan wanita dikenali sebagai Aishah itu melalui Facebook (FB) sejak November 2016.

"Sejak perkenalan itu, hubungan mereka semakin rapat melalui aplikasi WhatsApp. Pengadu benar-benar tertarik dengan gambar cantik dan menawan digunakan suspek, sehingga tidak menolak ketika diajak berkahwin," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Bintulu, beliau berkata seorang mekanik yang terpedaya tawaran pinjaman wang daripada sebuah syarikat melalui FB kerugian RM32,350.

Katanya, mangsa berhubung dengan seorang lelaki melalui WhatsApp kerana ingin membuat pinjaman berjumlah RM40,000.

" Lelaki terbabit mengaku dia adalah eksekutif kewangan syarikat yang menawarkan pinjaman wang.

"Pinjaman wang boleh diluluskan oleh lelaki terbabit dengan syarat mangsa perlu membuat beberapa pembayaran terlebih dulu," katanya.

Stanley berkata, mangsa membuat pembayaran keseluruhan berjumlah RM32,350 ke enam akaun bank berlainan nama menggunakan 11 transaksi.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 11:38 AM