PESERTA Jerman Emre Deger memperdengarkan bacaan al-Quran pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. FOTO Bernama
PESERTA Jerman Emre Deger memperdengarkan bacaan al-Quran pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. FOTO Bernama
BERNAMA

PENYERTAAN tiga negara iaitu Benin, Macedonia dan Niger buat pertama kali pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) 2018, membuktikan ia semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha berkata, penganjuran MTHQA tahun ini berjaya menarik penyertaan 87 negara, paling tinggi berbanding sebelum ini.

“Alhamdulillah malam tadi kita selesai majlis tilawah kerana semalam adalah acara terakhir bagi hafazan dan 10 peserta terakhir memperdengarkan bacaan,” katanya kepada pemberita pada MTHQA Ke-60 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Sepuluh peserta yang memperdengarkan bacaan ialah Aziz Alili (Crotia), Aisye Yildiz (Turki), Anwa A-Lee (Thailand), Minhaj Abdul Rauf (Pakistan), Saber Darawad (Palestin), Widadul Wahidah Mahamod (Singapura), Emre Deger (Jerman), Suhailah Zulkifly (Malaysia), Ayman Ahmed Hassan Aboualama (Mesir) dan Ahmad Darwish ( Syria).

Othman berkata, bagi kelancaran proses penghakiman, juri khusus dipecahkan kepada empat bidang penghakiman.

“Jemaah hakim kita seramai 20 orang, dengan setiap empat orang akan mengadili aspek berlainan iaitu tajwid, fasohah (kelancaran), taranum dan suara,” katanya.

Sementara itu, hakim pemarkahan dari Arab Saudi, Dr Mansur Mohamad Al-Sumaih mengakui tentang tahap profesionalisme dan keunikan sistem penghakiman dan penjurian pada majlis tilawah berkenaan.

“Malaysia mengadakan penghakiman di dalam bilik yang khusus berbanding negara lain yang kebiasaannya meletakkan hakim dan juri di hadapan peserta.

“Penghakiman dilakukan dalam bilik khusus itu dilihat sangat adil dan saksama kerana hakim tidak tahu peserta mana membaca, dan perkara tersebut dapat mengelak pemarkahan berat sebelah terhadap mana-mana negara dan peserta,” katanya yang diterjemahkan oleh Setiausaha MTHQA, Abdul Karim Zakaria.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah MTHQA yang berlangsung sejak 7 Mei lalu akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, malam Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:48 AM