Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini
Nurul Hidayah Bahaudin


MISTERI kehilangan kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Bandar Baru Seri Putra, Bangi sejak 15 April lalu terus menemui jalan buntu apabila tiada perkembangan terbaru diperolehi sehingga kini.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, atau lebih mesra dipanggil Zahir itu dikatakan keluar dari rumahnya 8 pagi 15 April lalu untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Ibunya, Sainih Sunding, 45, berkata, sehingga hari ini, pihaknya masih menunggu perkembangan terbaru dan belum ada maklumat atau petunjuk mengenai kehilangan anak bongsunya itu.

“Sudah 15 hari Zahir hilang, sampai hari ini saya belum menerima sebarang maklumat yang boleh dijadikan petunjuk untuk mencari lokasi Zahir.

“Saya menunggu panggilan telefon setiap hari, berdoa ada yang menelefon dan memaklumkan tahu di mana Zahir berada, saya juga dimaklumkan polis masih mencari dan tiada perkembangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sainih berkata, dia ada juga meminta bantuan pengamal perubatan Islam jika ada maklumat kehilangan Zahir tetapi usaha itu juga tidak berhasil.

“Semua ikhtiar menemui jalan buntu, tiada jawapan pasti terhadap kehilangan anak saya, namun saya berharap anak akan ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih belum menemui petunjuk baru mengenai kehilangan kanak-kanak itu.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Berdoa ada khabar gembira'

[UPDATE] 'Tiada petunjuk baru' - Polis

Polis cari Zahir di sekitar rumahnya

[UPDATE] Zahir dilihat di Darus Syifa, Bangi?

[UPDATE] Operasi jejak Zahir ditangguh [METROTV]

Zahir di Bandar Tasik Selatan?

Zahir di mana?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 6:29 PM