Dr Sahruddin (kanan) bersama ibunya dan adik-beradik di kediaman keluarganya. FOTO Adi Safri
Dr Sahruddin (kanan) bersama ibunya dan adik-beradik di kediaman keluarganya. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria dan Adnan Ibrahim


“BOLEH dikatakan setiap pagi anak (Dr Sahruddin Jamal) akan menelefon saya untuk bertanya khabar tetapi malam tadi dia telefon saya memaklumkan dilantik Menteri Besar Johor,” kata Isniah Kasmongin.

Isniah, 73, berkata, hanya Allah SWT saja yang tahu kegembiraannya apabila menerima berita berkenaan dan berharap anak kelapan dari 10 beradik itu dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Syukur Alhamdulillah kerana anak saya dilantik sebagai Menteri Besar. Saya sebagai ibu mendoakan supaya dia dapat melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

“Saya juga menasihatkannya menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Baru Batu 28 Lenga, Pagoh, Muar hari ini.

Terdahulu, Dr Sahruddin tiba di kampungnya 2 petang selepas selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, pagi tadi.

Kepulangan Menteri Besar Johor untuk menemui ibunya bagi mendapatkan restu apabila dilantik mengisi jawatan nombor satu Johor yang dikosongkan penyandangnya, Datuk Osman Sapian.

Mengenai perwatakan Dr Sahruddin, Isniah berkata, anaknya peramah dan sentiasa bertanyakan khabar dirinya.

Sementara itu, isterinya Dr Nila Armila Mukdan, 40, berkata, mereka mendirikan rumah tangga pada 2005 dan dikurniakan tiga anak dan kini mengandung anak keempat.

“Suami peramah dan suka bercakap. Kalau di rumah kami suasana meriah kerana dia rapat dengan ketiga-tiga anak perempuan kami berusia lapan hingga 13 tahun.

“Kami berkenalan ketika sama-sama menuntut di Fakulti Perubatan, Universiti Hasanuddin, Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

“Kami belajar di fakulti dan universiti sama. Saya 1997 manakala suami 1995.

“Perkenalan sebenarnya bermula ketika sama-sama menjalani latihan di hospital. Sebelum ini kami ada tiga klinik dan selepas suami menyertai politik, saya jaga pengurusan klinik dibantu doktor dan kakitangan,” katanya.

Menurutnya, sebagai isteri dia akan berusaha membantu dan menjadi tulang belakang suaminya dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab diberikan dan pada masa sama, cuba menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

Berita berkaitan

[UPDATE] MB Johor mohon restu ibu

[UPDATE] Osman akan bantu MB Johor baru

Lantikan barisan Exco baru dalam masa terdekat

Mahu rakyat nikmati pembangunan

Dr Sahruddin sah Menteri Besar ke-17 Johor [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 6:18 PM