(Dari kiri) Dr Sahruddin, Aminolhuda dan Mohd Khuzzan antara nama yang disebut calon MB Johor. FOTO Arkib NSTP
(Dari kiri) Dr Sahruddin, Aminolhuda dan Mohd Khuzzan antara nama yang disebut calon MB Johor. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Dr Sahruddin Jamal, Mohd Khuzzan Abu Bakar, Aminolhuda Hassan antara nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor sejak beberapa hari lalu sebelum pengesahan peletakan jawatan Datuk Osman Sapian hari ini.

Satu poster yang meletakkan gambar ketiga-tiganya tular di media sosial hari ini dengan tajuk ‘siapapun calon Menteri Besar Johor mestilah mendapat perkenan daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.’

Dalam pada itu, menurut sumber dalaman PKR, pihaknya mengetahui kerusi dan jawatan Menteri Besar Johor adalah kuota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor.

Bagaimanapun PKR tetap menyediakan dua nama iaitu Mohd Khuzzan Abu Bakar dan ADUN Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni.

“Namun semua keputusan untuk jawatan Menteri Besar Johor ini adalah atas perkenan Sultan Johor dan apa juga keputusan jawatan berkenaan akan kami terima.

“Namun perkara paling penting adalah khidmat yang diberikan kepada rakyat, dengan mendahulukan rakyat,” katanya.

Sementara itu, difahamkan AMANAH akan menghantar nama calon jika mendapat titah Sultan Johor.

“Kita tunggu titah daripada Tuanku (Sultan Ibrahim). Jika Tuanku titah maka kita akan hantar. Setakat ini, AMANAH belum hantar lagi,” kata sumber dalaman parti itu kepada Bernama.

Sumber itu turut memberitahu parti itu sudah pun meletakkan nama calon yang hanya akan dimaklumkan kemudian.

Dr Sahruddin dari BERSATU adalah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri serta ADUN Bukit Kepong.

Mohd Khuzzan yang juga ADUN Semerah adalah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri.

Sementara itu, Aminolhuda yang juga Pengerusi AMANAH Johor kini turut menyandang Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri selain ADUN Parit Yaani.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dari kerajaan negeri.

Terdahulu, Dr Sahruddin menjadi wakil rasmi Osman ke Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura di Putrajaya hari ini.

Pengumuman peletakan jawatan Osman disahkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini di parlimen selepas satu pertemuan antara Dr Mahathir dan Osman di Putrajaya semalam.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Memimpin Johor bukan mudah - Mohamed Khaled

'https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/442878/update-mb-johor-paling-singkat

'Dia mahu letak jawatan, kami terima' - PM

MB Johor letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 10:57 PM