PEGAWAI Khas Menteri Besar Pahang, Adam Zaidi Mahidin (kanan) bersama Presiden Majlis Belia Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong (tiga dari kanan) melihat anugerah diterima pelajar cemerlang, Nor Faiza Rosidin di Kampung Orang Asli Paya Badak. FOTO Ihsan Pembaca
PEGAWAI Khas Menteri Besar Pahang, Adam Zaidi Mahidin (kanan) bersama Presiden Majlis Belia Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong (tiga dari kanan) melihat anugerah diterima pelajar cemerlang, Nor Faiza Rosidin di Kampung Orang Asli Paya Badak. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Rafi Mamat


“KEADAAN adik kembar saya (Nor Faria Rosidin, 20) yang mempunyai masalah pembelajaran selain pekak dan bisu menjadi motivasi kepada saya untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan khas.

“Saya ingin membantu dan menyelami perasaan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menjalani kehidupan seharian terutama apabila dipandang rendah oleh sesetengah pihak,” kata Nor Faiza, Rosidin, 20.

Anak sulung daripada lima beradik itu adalah penerima anugerah pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 peringkat Kebangsaan bagi kategori pelajar Orang Asli dengan mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK), 3.83.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Abu Bakar, di sini, dia kini sedang menunggu keputusan permohonan kemasukan ke universiti untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

“Saya memohon untuk menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) kerana dua universiti itu mempunyai jurusan pendidikan khas.

“Saya yakin ilmu yang diperoleh nanti dapat digunakan untuk membantu kembar saya dan insan senasib denganya yang memerlukan pembelaan,” katanya yang menetap di Kampung Orang Asli Paya Badak, Temerloh, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Besar Pahang, Adam Zaidi Mahidin yang turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri.

Katanya, dia ingin buktikan pelajar luar bandar yang hidup dalam kemiskinan mampu berjaya melangkah ke menara gading seterusnya menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara.

“Saya ingin menjadi antara Orang Asli yang mampu berjaya dalam bidang pendidikan seterusnya mampu mengubah nasib keluarga,” katanya.

Sementara itu, Adam Zaidi berkata, kerajaan negeri sedia membantu pelajar terbabit melanjutkan pengajian ke universiti.

“Nor Faiza boleh memohon biasiswa Yayasan Pahang apabila dia diterima melanjutkan pengajian ke universiti, kita akan terus mengikuti perkembangannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 6:08 PM