ANGGOTA Bomba membawa mayat mangsa lemas terakhir yang ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat . FOTO Syarafiq Abd Samad
ANGGOTA Bomba membawa mayat mangsa lemas terakhir yang ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat . FOTO Syarafiq Abd Samad
Norizuan Samsuddin dan Nor Azizah Mokhtar


SELEPAS hampir 24 jam, kesemua mayat pemancing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di bawah jambatan Stesen KTM Sungai Buloh, akhirnya ditemui.

Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui kesemua mayat dengan mayat terakhir ditemui, 4.35 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, mengesahkan mayat terakhir yang ditemui dikenal pasti sebagai Rapawi Jum'ada, 37.

"Mangsa ditemui terapung dalam sungai di Desa Coalfields berhampiran jambatan simpang ke arah Puncak Alam iaitu kira-kira 24 kilometer (KM) dari lokasi kejadian.

"Sebelum itu, mayat keempat yang dikenal pasti sebagai Jeleha Hashim, 48, ditemui 3.45 petang, tadi," katanya dalam sidang media di Sungai Buloh, hari ini.

Mangsa ditemui tersangkut dalam semak sungai berhampiran Desa Coalfields di Sungai Buloh, kira-kira 19 kilometer dari lokasi kejadian.

Sebelum itu, mayat ketiga, Silawati Zailan, 31, ditemui pada 12.30 tengah hari tadi, kira-kira 10.6 KM dari lokasi kejadian.

Mayat dua lagi mangsa, seorang lelaki warga Indonesia, dikenali sebagai Hashir, 38, dan Jamaluddin Rapawi, 14, masing-masing ditemui pada 9.51 malam tadi dan 1.26 pagi tadi.

Mayat Hashir ditemui kira-kira 9.8 KM dari lokasi kejadian, manakala mayat Jamaluddin hanyut sejauh kira-kira 8.2 KM sebelum ditemui.

Dalam kejadian semalam, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.42 petang.

Laporan memaklumkan lapan mangsa sedang memancing di kawasan berkenaan sebelum dihanyutkan arus deras sungai.

Pihak polis pula menerima tiga laporan daripada tiga mangsa yang terselamat dalam kejadian itu.

Menurut Somu lagi, semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) dan sudah dicam oleh ahli keluarga masing-masing.

"Selepas selesai proses pengecaman dan bedah siasat, mayat akan diserahkan kepada waris untuk dikebumikan.

"Kita berterima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terbabit dalam operasi ini sehingga membolehkan pencarian ditamatkan dalam tempoh 24 jam," kata beliau lagi.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba, Penguasa Kanan Bomba 1 Yusri Basri berkata, semua mayat ditemui dalam keadaan sempurna lengkap berpakaian.

"Ada di antara mayat ditemui tersangkut pada tebing lumpur, semak dan pokok manakala mayat terakhir ditemui terapung sedang dihanyutkan air sungai.

"Kira-kira 90 pegawai dan anggota bomba terbabit dengan operasi SAR, dan Alhamdulillah operasi pencarian dapat ditamatkan dalam tempoh 24 jam," katanya ketika ditemui.

Difahamkan, operasi SAR disertai 200 orang termasuk bomba, polis, Angkatan Tentera Malaysia, RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Marin, Majlis Bandaraya Shah Alam serta orang awam.

Operasi pencarian ditamatkan pada 6.30 petang.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Khairuddin Othman, menasihatkan orang ramai terutama penduduk di sini untuk lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di dalam air seperti memancing.

"Walaupun dalam insiden ini hanya membabitkan dua penduduk Paya Jaras, namun kita tidak mahu tragedi seperti ini berulang, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.

"Justeru, kita sudah adakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk menutup dengar pagar di lokasi berbahaya untuk mengelakkan dimasuki orang awam," katanya.

Berita berkaitan:

Mayat mangsa keempat ditemui

[UPDATE] Jumpa mayat mangsa ketiga

Sungai Gasi bahaya

Arwah anak yang baik

'Tunggu sini sampai jumpa kakak'

Pencarian diteruskan

[UPDATE] Jumpa mayat mangsa kedua

70 anggota cari 4 mangsa

Jumpa 7km dari lokasi hanyut

Terjun sungai, cuba selamatkan isteri

2 wanita antara 5 dikhuatiri lemas

7 pemancing dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 7:16 PM