Iskandar Shah Mohamed


AHLI perniagaan bergelar Tan Sri dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang, hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pembantu rumah mereka antara 2012 hingga bulan lalu.

Tertuduh, M K Ketheeswaran, 58, dan Puan Sri Vivienne Ketheeswaran, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut tiga pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama memperdagangkan tiga wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 41 tahun bagi maksud eskploitasi kerja paksa.

Semua perbuatan itu dilakukan di rumah di Kajang antara Oktober 2012 hingga 21 Mac lalu.

Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seskyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof yang mengendalikan kes menawarkan jaminan berjumlah RM50,000 bagi setiap tertuduh dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Shashi Devan yang mewakili pasangan itu memaklumkan bersedia membayar kos itu.

Roszianayati kemudian menetapkan jaminan RM50,000 itu dan memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Mei depan.

Hujung bulan lalu, Harian Metro melaporkan tiga wanita Indonesia yang bekerja sebagai amah kepada suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri di banglo mewah di Country Heights di Kajang, mendakwa didera majikan mereka.

Mereka mendakwa ditumbuk, ditampar dan tidak dibayar gaji sebelum bertindak memanjat pagar banglo untuk melarikan diri.

Tindakan tiga wanita itu disedari seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum membawa mereka ke Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Mereka dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan doktor, bagaimanapun hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ketiga-tiganya tiada kecederaan fizikal, mental atau seksual.

Berita berkaitan

Tan Sri, Puan Sri direman sehari

'[UPDATE] Tan Sri beri keterangan bantu siasatan'

'Polis siasat Tan Sri, Puan Sri dera amah'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:54 AM
TAN Sri Ketheeswaran a/l M. Kanagaratnam atau lebih dikenali Kenneth Eswaran dan Puan Sri Vivienne Ketheeswaran hadir ke Mahkamah Klang atas didakwa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. FOTO Roslin Mat Tahir
TAN Sri Ketheeswaran a/l M. Kanagaratnam atau lebih dikenali Kenneth Eswaran dan Puan Sri Vivienne Ketheeswaran hadir ke Mahkamah Klang atas didakwa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. FOTO Roslin Mat Tahir