LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menahan dua individu bergelar Tan Sri dan Puan Sri bagi membantu siasatan berhubung kes amah yang dilayan dengan kekerasan di Country Heights, Kajang, 29 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof berkata, dua individu berkenaan ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang 8 pagi tadi.

“Kedua-dua individu dibawa ke Mahkamah Kajang untuk mendapat permohonan reman yang dibenarkan selama sehari iaitu tahanan sehingga jam 5.00 petang tadi.

“Polis masih lagi menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, orang ramai yang yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108.

Pada 29 Mac lalu, tiga wanita Indonesia yang bekerja sebagai amah kepada sepasang suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri di sebuah banglo mewah di Country Heights di Kajang, mendakwa didera majikan mereka.

Mereka mendakwa ditumbuk, ditampar dan tidak dibayar gaji sebelum bertindak memanjat pagar banglo untuk melarikan diri.

Tindakan tiga wanita itu disedari seorang lelaki yang kebetulan melalui jalan berkenaan sebelum membawa mereka ke Kedutaan Besar Republik Indonesia.

Mereka kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan doktor bagaimanapun hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ketiga-tiganya tiada kecederaan fizikal, mental atau seksual.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Tan Sri beri keterangan bantu siasatan'

'Polis siasat Tan Sri, Puan Sri dera amah'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2019 @ 7:58 PM