LAPORAN portal Harian Metro kes dera amah.
LAPORAN portal Harian Metro kes dera amah.
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS mengambil keterangan individu bergelar Tan Sri yang didakwa mendera tiga pembantu rumahnya di Country Heights, Kajang, 26 Mac lalu.

Sumber berkata, keterangan Tan Sri berusia 58 tahun diambil sehari selepas pembantu rumahnya melarikan diri dari rumah lelaki itu dan laporan polis dibuat berhubung kejadian.

“Setakat ini, Tan Sri berkenaan tidak ditangkap. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang giat dijalankan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi hari ini, mengesahkan pihaknya sudah merakam keterangan Tan Sri berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tiga pembantu rumah warga Indonesia melarikan diri dari rumah majikan mereka di Country Heights, di sini, selepas dikatakan tidak tahan didera.

Mereka turut mendakwa mendakwa tidak dibayar gaji, ditumbuk dan ditampar menyebabkan ketiga-tiga mangsa nekad melarikan diri dengan memanjat pagar rumah majikan sebelum dibantu lelaki tidak dikenali.

Difahamkan mangsa kemudian dibawa ke Kedutaan Indonesia dan laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.

Pemeriksaan awal dilakukan mendapati ketiga-tiga mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda didera.

Berita berkaitan

Polis siasat Tan Sri, Puan Sri dera amah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 6:05 PM