ANGGOTA polis mengiringi Ambika (depan) dan Jayavartiny ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Amir Irsyad Omar
ANGGOTA polis mengiringi Ambika (depan) dan Jayavartiny ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Amir Irsyad Omar
Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@bh.com.my


SURI rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini atas tuduhan membunuh seorang amah warga Indonesia pada 10 Februari lalu.

Tertuduh M Ambika, 59, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Ambika didakwa menyebabkan kematian terhadap Adelina Lisao di Taman Kota Permai 2, Bukit Mertajam, pada 4 petang, 10 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum gantung mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, anak perempuannya, R Jayavarthiny, 32, didakwa mengambil Adelina bekerja walaupun mengetahui mangsa tidak memiliki pas yang sah.

Jayavarthiny didakwa mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Muhamad Anas membenarkan Jayavarthiny diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini sebagai tarikh sebutan semula kedua-dua kes.

Jayavarthiny yang bekerja sebagai jurujual diwakili peguam Muhaimin Hashim, manakala ibunya tidak diwakili peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanzah Azhan.

Terdahulu, anak lelaki Ambika dibebaskan di hadapan Muhamad Anas di bawah Bon 118 Kanun Prosedur Jenayah.

Lelaki berusia 39 tahun itu dibebaskan, dan akan menjadi saksi pendakwaan.

Dalam kejadian itu, Adelina dihantar ke Hospital Bukit Mertajam selepas disyaki didera oleh majikannya, namun mangsa meninggal dunia keesokkannya.

Susulan itu, tiga beranak yang juga majikan mangsa ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Tambah tujuh hari lagi... [METROTV]

Tangisan sambut amah

Sambung reman dua beradik [METROTV]

Amah mati akibat hilang banyak darah

[UPDATE] Amah Indonesia meninggal dunia [METROTV]

Amah Indonesia didera [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 7:33 PM