WANITA warga China ditahan di sebuah premis perkhidmatan urut di KK Taipan, Jalan Tuaran Inanam, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
WANITA warga China ditahan di sebuah premis perkhidmatan urut di KK Taipan, Jalan Tuaran Inanam, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


LAPAN wanita warga China disyaki terbabit dalam aktiviti pelacuran, ditahan dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis urut di KK Taipan, Jalan Tuaran Inanam, 11.05 malam, semalam.

Dalam serbuan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu, polis turut menahan lelaki berusia 45 tahun disyaki penjaga premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu sebuah premis disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.

"Hasil serbuan itu, kita menemui peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan pelacuran.

"Lapan wanita warga China berusia 27 hingga 37 tahun ditahan bersama seorang lelaki disyaki penjaga premis berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Chandra berkata, serbuan itu juga polis merampas lesen perniagaan, lesen untuk mengaji pekerja bukan pemastautin, kertas tercatat kod pekerja, dua botol minyak urut dan wang tunai RM2,950.

"Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan iaitu mencari langganan bagi maksud pelacuran dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan iaitu pengawalan premis-premis pelacuran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 10:21 PM