Antara barang yang dirampas dalam operasi berakhir awal pagi hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
Antara barang yang dirampas dalam operasi berakhir awal pagi hari ini. FOTO Ihsan PDRM.
Muhammad Apendy Issahak

POLIS merampas sejumlah air dan daun ketum serta ubat batuk dalam operasi bersepadu membanteras kegiatan penagihan dan memproses ketum sekitar Gerik berakhir 1 pagi, hari ini.

Operasi empat jam bermula 9 malam itu turut menahan dua lelaki dalam serbuan di Kampung Padang.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pihaknya berjaya merampas 127 bungkusan air ketum, 27 kilogram daun ketum, 120 botol ubat batuk, peralatan pemprosesan ketum seperti tong gas, dapur dan periuk memasak.

“Suspek yang ditahan adalah dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun.

“Kedua-duanya kini disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi bersepadu yang dijalankan itu bertujuan membanteras kegiatan tidak sihat di kawasan kampung di sekitar Gerik.

Katanya, ia juga susulan maklumat awam dan hasil risikan hingga membolehkan operasi lancar dan terkawal.

“Usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan tidak sihat dapat ditangani untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 3:38 PM