Mahaizura Abd Malik


LEBIH 70,000 warga kota bakal menerima manfaat apabila projek membaik pulih dan membina 12 set tren monorel untuk laluan KL Sentral ke Titiwangsa dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kerajaan komited meneruskan projek usahasama antara Prasarana Malaysia Berhad dan Scomi Transit Projects Sdn Bhd (STP) yang tergendala sebelum ini demi menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada warga kota yang memilih menggunakan pengangkutan awam itu.

“Sebelum ini, lima daripada 12 set tren berkenaan yang sudah siap digantung perkhidmatannya selama enam bulan antara Mei hingga November 2017 sebelum dihentikan operasinya hingga kini kerana masalah teknikal.

“Jadi, projek ini akan diteruskan selepas diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Januari lalu.

“Untuk menyelesaikan isu ini pihak STP perlu membaiki lima set tren berkenaan dan jika mereka berjaya selesaikan isu ini dalam tiga hingga enam bulan, kita akan teruskan projek pembelian tujuh set tren baru dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian penyelesaian bagi memperoleh tujuh set tren baru dan baik pulih lima set tren untuk Rapid KL laluan Monorel di Scomi Engineering, Technology & Innovation Centre, hari ini.

Anthony berkata, kos bagi membaik pulih dan membina 12 tren itu menelan belanja RM303 juta dan jangkaan projek itu disiapkan dalam tempoh 30 bulan.

“Walaupun kita mahu perkhidmatan ini dikembalikan secepat mungkin, apa yang penting aspek keselamatan menjadi keutamaan yang mana ia akan melalui beberapa proses pengujian untuk memastikannya selamat digunakan orang ramai.

“Jika 12 set ini dapat disiapkan dan beroperasi, maka ia akan mengubah wajah monorel kerana monorel sedia ada beroperasi sejak 1998 dan keadaannya kurang memuaskan.

“Kita komited memperbaiki keadaan ini dan apabila siap, ia akan memberi perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai selain menjangkakan bilangan penumpang akan bertambah kembali kerana ia menurun sejak 2015 akibat masalah itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah STP Rohaida Ali Badaruddin berkata, pihaknya yakin dapat menyiapkan projek itu mengikut perjanjian.

“Satu daripada rangka tren sudah 80 peratus siap dan sebahagiannya dalam proses pengilangan. Jadi kami yakin tiada masalah dan boleh buat.

“Kami juga mendapat kerjasama daripada jurutera untuk memastikan keselamatan berada pada tahap terbaik sebelum semuanya beroperasi,” katanya.

Ketika ini hanya lima tren membabitkan dua gerabak beroperasi di laluan monorel dari KL Sentral ke Titiwanga dengan jumlah penumpang 32,000 sehari berbanding lebih 71,000 pada 2015 sebelum operasi perkhidmatan lima set tren berkenaan dihentikan atas faktor keselamatan.

Perjanjian berkenaan ditandatangani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain manakala STP diwakili

Ketua Pegawai Eksekutif Scomi Group Berhad Sammy Tse Kwok Fai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 5:07 PM