Mohd Husni Mohd Noor


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyifatkan penahanan lagi 22 anggota JPJ Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini adalah di luar jangkaan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid menegaskan operasi dan penguatkuasaan di cawangan berkenaan tetap beroperasi seperti biasa.

“Penahanan itu memang di luar jangkaan tapi kita masih beroperasi seperti biasa.

“Justeru, tidak timbul isu JPJ Pulau Pinang tidak lakukan tugas seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops Khas Muatan Berat di Putrajaya hari ini.

SPRM hari ini menahan 22 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang kerana dipercayai turut terbabit dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar negeri itu.

Difahamkan, semua 22 penguat kuasa berkenaan akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman.

Tangkapan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan termasuk orang awam setakat ini 55 orang termasuk 24 anggota JPJ Pulau Pinang yang ditahan reman sebelum ini.

Selain itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dipetik berkata, pihaknya mungkin akan memanggil pegawai kanan JPJ Pulau Pinang berhubung siasatan anggota dan pegawai jabatan itu yang menerima sogokan daripada pengusaha lori.

Dalam pada itu Shaharuddin berkata, pihaknya turut menubuhkan

satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula sistem dan prosedur kerja sedia ada JPJ untuk mengenalpasti ruang dan peluang berlakunya penyelewengan serta salah guna kuasa.

Menurutnya, jawatankuasa khas berkenaan bukan ditubuhkan susulan isu penahanan anggota JPJ Pulau Pinang sebaliknya sudah dirancang lama bagi melihat keseluruhan sistem dan prosedur kerja JPJ di semua bahagian.

“Jawatankuasa itu diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan syor ke arah penambahbaikan sistem dan prosedur kerja JPJ bagi semua bahagian dalam jabatan itu.

“Jawatankuasa ini yang diketuai Pengarah Bahagian Integriti JPJ, akan berperanan mengkaji ‘gap analysis’ terutama prosedur kerja yang sudah terlalu lama dan tidak lagi sesuai dengan situasi semasa.

“Mereka akan bentang syor kepada saya supaya tiada ruang dan peluang untuk perkara tidak diingini termasuk rasuah dan salah guna kuasa berlaku lagi,” katanya.

Mengulas mengenai operasi khas itu, Shaharuddin berkata, 20 lori ditahan kerana melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa lebih muatan.

“Selain itu, 30 lori lagi ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana meletakkan kenderaan di lorong kecemasan, tiada lesen memandu dan tidak memiliki lesen kenderaan perdagangan (GDL),” katanya.

Berita berkaitan

Panggil 'bos' JPJ Pulau Pinang jika perlu - SPRM

[UPDATE] 'Kerja seperti biasa'

[UPDATE] 'Tiada kompromi pegawai terbabit rasuah'

[UPDATE] 'Operasi JPJ Pulau Pinang tak lumpuh' [METROTV]

Sticker 'kebal'

24 anggota JPJ direman tujuh hari [METROTV]

Bas SPRM bawa tahanan terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 6:28 PM
Beberapa individu memasuki bangunan SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah hari ini. FOTO Danial Saad
Beberapa individu memasuki bangunan SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah hari ini. FOTO Danial Saad