GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


PENGASUH ditahan kerana disyaki mendera bayi perempuan berusia lapan bulan berdasarkan kesan merah pada pipi kiri bayi itu di Taman Bukit Mutiara, Kajang, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pembantu perubatan Hospital Kajang apabila menerima pesakit, bayi perempuan yang disyaki mangsa dera, semalam.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati bayi perempuan itu dihantar ibunya, anggota polis wanita ke rumah pengasuh pada pagi Ahad lalu.

"Ibu mangsa menghantar anaknya ke rumah pengasuh dan terus ke tempat kerja untuk mendapatkan cuti kecemasan. Beberapa jam kemudian, ibu mangsa pergi semula ke rumah suspek untuk membawa bayi itu ke klinik.

"Ketika berada di luar rumah pengasuh, ibu mangsa terdengar bayinya menangis dengan kuat dan apabila menghubungi pengasuh, wanita terbabit mendakwa bayi itu sedang tidur dan dalam keadaan baik. Ibu mangsa masuk ke rumah wanita itu dan mengambil anaknya.

"Dia mendapati ada kesan merah di pipi kiri bayi seperti ditampar dan apabila cuba menghubungi pengasuh itu, telefon bimbit sudah dimatikan," katanya.

Dzaffir berkata, suspek ditahan di rumahnya pada 8 malam semalam dan direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 7:27 PM