KEBAKARAN membabitkan tiga rumah di Kampung Jaya Baru 3, Jalan Kunak, Tawau. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN membabitkan tiga rumah di Kampung Jaya Baru 3, Jalan Kunak, Tawau. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming


TIGA rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Jaya Baru 3, Jalan Kunak dekat Tawau, petang semalam.

Difahamkan, kejadian bermula dari sebuah rumah jenis papan sebelum merebak ke rumah berhampiran berikutan keadaan berangin.

Dalam kejadian 6.30 petang itu, orang ramai cuba memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah berkata, seramai 11 anggota dan pegawai bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 6.35 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan semua penghuni berjaya menyelamatkan diri. Dua kenderaan dan dua motosikal turut terbakar 100 peratus dalam kejadian itu.

“Kebakaran berjaya dikawal 7.15 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya, di sini, hari ini.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada 10.21 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 9:18 AM