ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api di sebuah restoran menyediakan hidangan dim sum di Bandar Letat, dekat Batu 3 1/2 di Sandakan. Foto NSTP/IHSAN BOMBA.
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api di sebuah restoran menyediakan hidangan dim sum di Bandar Letat, dekat Batu 3 1/2 di Sandakan. Foto NSTP/IHSAN BOMBA.
Hazsyah Abdul Rahman


RESTORAN popular yang menyediakan hidangan dim sum hangus dalam kebakaran di Bandar Letat, dekat Batu 3 1/2, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian 6.35 pagi itu, barangan seperti kerusi, meja, pinggan mangkuk dan peralatan restoran dilaporkan hangus sepenuhnya akibat dimamah api.

Difahamkan, restoran berkenaan baru hendak memulakan operasi sebelum tiba-tiba api disyaki bermula dari bahagian dapur lalu merebak ke keseluruhan premis.

Ketua Zon Enam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM) Sabah, Anddre Andrew, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran pada 6.36 pagi.

“Sejurus itu, seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dihantar ke lokasi kejadian dengan menggunakan tiga jentera.

“Apabila tiba empat minit kemudian, didapati restoran berkenaan sedang terbakar dan operasi memadamkan kebakaran segera dijalankan.

“Pada 7.05 pagi, api dipadamkan sepenuhnya, bagaimanapun restoran itu dilaporkan musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anddre berkata, tiada individu dilaporkan cedera akibat kebakaran itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian dan anggaran kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 3:06 PM