KEADAAN rumah mangsa.
KEADAAN rumah mangsa.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Yee Tian yang rentung di kediamannya di Taman Rembia Perkara, Alor Gajah Melaka, sebentar tadi. FOTOSTR AMIR MAMAT
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Yee Tian yang rentung di kediamannya di Taman Rembia Perkara, Alor Gajah Melaka, sebentar tadi. FOTOSTR AMIR MAMAT
Amir Mamat


WARGA emas ditemui rentung selepas kediamannya di Taman Rembia Perkara, Alor Gajah hangus dijilat api, malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu, mangsa, Pon Yee Tian, 87,yang tinggal seorang diri, dikatakan sedang membakar sampah di halaman rumahnya sebelum api secara tiba-tiba marak lalu menyambar bahagian rumah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Zulkifli Nordin berkata, mangsa yang juga seorang pengumpul barangan lusuh, ditemui rentung dalam keadaan terlentang di bilik tidur utama selepas dipercayai berlari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri.

Katanya, kebakaran yang dipercayai bermula dari halaman rumah yang dikelilingi rimbunan pokok itu turut mengakibatkan tiga anjing belaan yang diletakkan di kawasan parkir rumah teres setingkat berkenaan turut rentung.

"Beberapa saksi yang kami temui menyatakan, mangsa pada mulanya melakukan kerja pembersihan di halaman rumah sebelum membakar sampah. Tidak lama kemudian, api dilihat menjulang sebelum marak dengan cepat berikutan keadaan cuaca yang kering dan juga berangin.

"Melihat api menjulang dan marak, mangsa dikatakan terus masuk ke dalam rumah, manakala orang awam membuat panggilan kecemasan," katanya.



Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.22 malam sebelum tiba ke lokasi kira-kira 15 minit kemudian.

Operasi itu membabitkan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan Tangga Batu, sebuah lori tangki dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dengan kekuatan 35 anggota.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba terpaksa membuat tindakan pantas dengan memotong pokok di sekeliling rumah berkenaan bagi memudahkan kerja pemadaman api selain menghalang api dari terus marak ke rumah berhampiran.

"Api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian selain terpaksa berdepan faktor tekanan air yang rendah. Mayat mangsa yang melecur 100 peratus itu kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 1:41 AM